fbpx

PM zahirkan rasa bangga, insaf atas pengorbanan petugas barisan hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin meninjau misi penghantaran barang keperluan kritikal ke Sabah dan Sarawak di Pangkalan Udara Subang hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa bangga dengan kerjasama kukuh di antara pelbagai agensi di negara ini yang menghulurkan bantuan dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan rasa insaf melihat pengorbanan petugas barisan hadapan yang dianggap sebagai wira-wira negara kerana tanpa henti berkorban masa dan tenaga untuk memerangi Covid-19.

Beliau berkata, mereka berjuang ‘di perbatasan’ meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk menyelamatkan rakyat serta negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan atas khidmat bantuan penerbangan dilakukan Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) yang memberi kemudahan kepada banyak pihak khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dalam misi menghantar peralatan dan petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak.

“Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya. Percayalah, rakyat di seluruh negara amat berterima kasih kepada anggota TUDM, KKM dan petugas barisan hadapan lain atas komitmen yang berterusan dalam usaha memastikan misi memerangi Covid-19 berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Muhyiddin berkata, terdahulu, beliau sempat ke Pangkalan Udara Subang, Selangor pagi tadi, bagi meninjau persiapan terakhir misi penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah dan Sarawak melalui pesawat TUDM.

Hadir sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menerusi taklimat ringkas, beliau dimaklumkan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad bahawa pesawat A400M dan C-130H membuat penerbangan ke Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan sebelum kembali semula ke Pangkalan Udara Subang dalam misi hari ini.

“Saya berpeluang melihat secara dekat pelbagai kelengkapan dan peralatan kesihatan milik KKM termasuk barangan sumbangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan sebelum diterbangkan untuk digunakan petugas barisan hadapan di lapangan.

“Antaranya set peralatan perlindungan diri, ventilator, jumpsuit, protective coverall, ward screen, troli prosedur, Biological Safety Cabinet, pelitup separuh muka, pelindung muka, pensanitasi tangan serta naskhah al-Quran dan buku doa Darussyifa,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, penugasan bantuan penerbangan pesawat TUDM ke Sabah dan Sarawak telah bermula sejak 22 Mac lepas dengan penerbangan lebih kerap kebelakangan ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Menurutnya, sehingga hari ini, sebanyak 17 bantuan penerbangan telah dilakukan TUDM yang membawa pelbagai muatan seberat 433,886.5 kilogram.

Pada masa sama, katanya sebanyak 471 kotak sampel Covid-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa balik sepanjang Oktober untuk diuji di makmal-makmal di Semenanjung Malaysia.

“Selain keperluan peralatan perubatan dan fasiliti, pesawat TUDM turut menerbangkan doktor, staf perubatan serta sukarelawan bagi membantu memperkasakan usaha memerangi penularan wabak itu di Sabah dan Sarawak.

“Terima kasih para petugas barisan hadapan. Anda adalah wira negara dan kami sangat berbangga dengan anda semua,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI