SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil pendekatan berbeza dengan melancarkan program walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya iaitu ‘Kepulanganmu Dinanti’ di bazar Ramadan negeri ini selama tiga hari bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kempen itu memberi tumpuan kepada beberapa lokasi ‘blackspot’ yang direkod berdasarkan statistik lokasi kerap kemalangan.
Menurutnya, kesedaran pengguna jalan raya amat penting khususnya ketika musim perayaan ini bagi melancarkan perjalanan trafik sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan kemalangan maut.
Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018, Pulau Pinang telah merekodkan sehingga 45,734 kemalangan jalan raya dan jumlah itu meningkat pada tahun berikutnya kepada 47,198 kes.
“Bagaimanapun, jumlah kemalangan itu kembali menurun pada 2020 iaitu kepada 35,234 kes dan 18,166 kes sehingga Julai 2021 (disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan). Statistik terkini pula masih dalam proses pengemaskinian oleh pihak PDRM.
“Tujuh kesalahan utama yang direkodkan pula adalah melibatkan kesalahan lalu lintas iaitu memotong barisan dan memotong di garisan berkembar,
“Kesalahan lain adalah tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya ketika pelancaran yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa di bazar Ramadan Taman Pauh Indah, Bukit Mertajam di sini.
Dalam pada itu, Adenan memberitahu, pihaknya memilih bazar Ramadan sebagai lokasi kempen keselamatan jalan raya kali ini bagi memberi kelainan dalam mendekati masyarakat.
“Kita tahu di sini (bazar Ramadan) adalah tempat tumpuan pengguna jalan raya sama ada penunggang (motosikal) atau pemandu (kereta). jadi, kita buat kelainan dengan harapan timbul kesedaran dalam kalangan mereka untuk berubah.
“Ini bazar pertama dan kita akan bergerak (berkempen) dari satu bazar ke bazar yang lain yang menjadi tumpuan orang awam untuk menjayakan kempen ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE