fbpx

Majlis Perbandaran Taiping PBT pertama miliki bas elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sandrea (kiri) melekatkan pelekat Perak 2030 sebagai simbolik pelancaran bas EV milik MPT di pekarangan Zoo Taiping, Perak hari ini. Foto oleh WAT KAMAL ABAS/ KOSMO!

TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai sebuah bas elektrik (EV) termasuk menguruskannya secara penuh di negara dan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, bas MPT itu akan beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan mulai 1 Mei hingga 31 Julai tahun ini.

“Saya difahamkan ia merupakan bas EV yang pertama dimiliki oleh PBT di negara ini dan juga yang pertama di Perak.

“Laluan bas EV ini akan membawa penumpangnya dalam memperkenalkan beberapa destinasi yang bersejarah di Bandar Warisan Taiping yang dikenali sebagai laluan Jejak Warisan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan melancarkan bas tersebut di pekarangan Zoo Taiping di sini hari ini.

Menurut Sandrea, bas EV itu mempunyai kapasiti 22 kerusi penumpang termasuk satu kerusi penumpang untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, bas EV tersebut merupakan sumbangan kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Tambahnya, beliau berharap dengan pelancaran bas tersebut, ia dapat melonjakkan industri pelancongan di Taiping, apatah lagi apabila bandar itu akan menyambut ulang tahunnya yang ke-150 tahun hadapan.

“Bas ini akan beroperasi selama tujuh hari seminggu dan menyediakan empat kali perjalanan sehari bermula pukul 9 hingga 11 pagi dan 3 hingga 5 petang setiap hari dan bagi hari Sabtu dan Ahad pula, perkhidmatannya adalah sebanyak lima kali sehari dengan waktu yang sama. Setiap perjalanan mengambil masa sekitar sejam 21 minit,” katanya.

Tambahnya, harga tiket selepas habis tempoh percubaan dijual pada harga RM20 untuk dewasa manakala warga emas, kanak-kanak dan OKU sebanyak RM10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI