GEORGE TOWN – Kualiti udara di Seberang Jaya dekat sini masih berada pada tahap tidak sihat selepas indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu mencecah 143 setakat pukul 4 petang ini.
Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, IPU di Seberang Jaya kekal merekodkan bacaan tahap tidak sihat sejak pukul 9 malam tadi dan menunjukkan trend menaik pada pagi iaitu mencecah 151 pada pukul 10 pagi.
IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).
Setakat pukul 4 petang hari ini juga, stesen bacaan IPU lain di negeri ini turut mencatatkan tahap sederhana, namun menghampiri tidak sihat termasuk di stesen Minden (97), Seberang Perai (95) dan Balik Pulau (83).
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fenomena jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.
Dalam pada itu, seorang penduduk negeri ini, Azmi Ibrahim berkata, sejak semalam, cuaca mula berjerebu di kawasan Seberang Jaya dan situasi itu diburukkan dengan cuaca yang terlampau panas dan berbahang.
“Ramai mula bimbang sekiranya cuaca panas dan berjerebu ini berlarutan kerana boleh membahayakan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak dan jika tiada hujan mungkin bacaan IPU akan terus mencatatkan bacaan tidak sihat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE