KLUANG – Seorang penumpang maut manakala lima yang lain cedera selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 75.7 Lebuhraya Utara-Selatan lewat malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor (JBPM), individu yang maut dikenali sebagai Syamil Aiman, 30, yang berada di tempat penumpang hadapan kereta itu.
“Kami menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian MERS999 pada pukul 10.38 malam tadi.
“Satu jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Komander Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Ibnul Kasim Ahmad Abd Hamid.
“Menurut komander operasi, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi
kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah treler jenis Scania.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian penumpang sebelum PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan Road Traffic Accident.
Mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang cedera telah di bawa ke hospital berhampiran dengan menggunakan Ambulans KKM.
“Maklumat mangsa yang lain adalah pemandu, Mohd. Noor Harun, 48, dan penumpang, Zainab Mahmod, 41, Zalikha Nazir, 48, Norafiah, 6, serta Aishah Akila, 5,” jelasnya.
Pemandu lori berkenaan yang selamat dikenali sebagai L. M Louis Edayson. Operasi ditamatkan lebih kurang pukul 11.52 malam. – K! ONLINE