GEORGE TOWN – Peniaga kuih dan biskut raya terus buntu untuk menghabiskan jualan mereka ekoran sambutan yang hambar dan gagal mencapai sasaran walaupun Ramadan bakal berakhir tak lama lagi.
Tinjauan mendapati, premis menjual produk tersebut masih suram berbanding tahun lalu yang meriah dengan kehadiran pelanggan.
Norita Ismail, 55, berkata, dia menjual 50 jenis kuih raya seperti yang dilakukan pada tahun lalu, namun hampa apabila mendapati jualan agak perlahan.
Katanya, kebanyakan pelanggan hanya membeli satu jenis kuih raya sahaja sejak dia berniaga di depan rumahnya di Teluk Kumbar di sini dua minggu lalu.
“Setakat ini hanya dapat RM400. Berbeza pada tahun lalu apabila kali ini ramai datang dan tanya kuih murah di bawah RM10,” katanya.
Menurut Norita, dia berniat untuk menginfakkan kuih raya yang tidak mendapat sambutan itu kepada golongan memerlukan di kawasan berdekatan.
Seorang lagi peniaga dikenali sebagai Aina, 45, memberitahu, jualan hambar mungkin disebabkan ramai orang berdepan dengan masalah kewangan.
“Memang ramai yang merungut tentang bayaran gaji pada 25 hari bulan dan duit habis buat belanja barangan sekolah anak-anak,” katanya.
Di Shah Alam, seorang peniaga di bazar PKNS, Ahmad Norman Khalis, 34, memberitahu, dia hanya menjual 50 balang kuih raya sehari.
“Kita terpaksa membuat promosi lima balang aneka kuih raya pada harga RM100 bagi menarik perhatian orang ramai untuk membeli,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja gerai biskut raya, Muhammad Faiz Aiman Shahrin, 23, tidak menolak berlaku kenaikan harga antara RM2 hingga RM3 bagi beberapa kuih seperti Chocolate Chips, Cornflakes Crunchy, semperit, dahlia dan makmur.
“Memang ada rungutan, namun kos bahan meningkat dan perkara ini tidak dapat dielakkan.
“Orang ramai juga didapati lebih gemar membeli kuih atau biskut raya di pasar raya besar,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung bazar, Najlaa Hani Mohd. Ali, 33, mengakui membuat tinjauan terlebih dahulu ekoran harga-harga ditawarkan bagi kuih sama adalah berbeza.
“Ada kedai seperti almond london dijual melebihi RM25 dan di bazar PKNS ini cuma RM22.
“Memang kena berjimat dan saya memperuntukkan hanya RM150 hingga RM200 bagi pembelian kuih raya,” ujarnya.