MIRI – Lapan lelaki tempatan diberkas disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah bistro di Bintang Megamall, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata tangkapan ke atas semua suspek berusia 18 hingga 45 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan berkenaan yang berlaku pada pukul 12.30 malam semalam.
“Punca pergaduhan adalah disebabkan mabuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson berkata kesemua suspek telah direman pada hari ini untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera serta dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
Justeru, Alexson berkata pihaknya amat menghargai segala maklumat dan perkongsian yang diberikan oleh masyarakat namun menasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memviralkan isu-isu sensitif di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kerisauan kepada masyarakat.
Katanya mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh tampil ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi Inspektor Nor Sharilazuwan Mohammad di talian 085-433730. -KOSMO! ONLINE.