JAKARTA – Aktiviti pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai mudik lebaran, bermula di Indonesia dengan 123 juta orang dijangka melakukan perjalanan ke kampung halaman masing-masing, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia hari ini.
Angka itu adalah peningkatan daripada 85 juta orang yang pulang ke kampung pada musim raya tahun lepas dan didorong oleh penamatan sekatan perjalanan ekoran pandemik Covid-19.
Bagi melancarkan mudik lebaran pada tahun ini, pemerintah Indonesia melaksanakan peraturan perjalanan sehala di beberapa lokasi yang diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Tempoh masa lalu lintas mudik juga dibahagikan kepada beberapa peringkat yang bermula esok (18 April) hingga Jumaat ini.
Bagi arus mudik pulang ke bandar-bandar pula, ia akan bermula pada 24 April hingga 2 Mei depan.
Sementara itu, Kementerian Perhubungan meramalkan kemuncak lalu lintas mudik lebaran tahun ini berlaku pada 19 hingga 21 April ini.
Menterinya, Budi Karya Sumadi berkata, orang ramai disaran pulang ke kampung lebih awal bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Orang ramai dinasihati untuk mudik lebih awal bermula 13 April hingga 17 April (hari ini) kerana keadaan di jalan raya masih belum terlalu sesak,” ujarnya. – Agensi