MANJUNG – “Sebelum ini bila tiba Ramadan, dia kerap bertanyakan tentang menu berbuka, tetapi selepas kemalangan, tiada lagi pertanyaan itu.”
Demikian kata Mat Jelani Othman, 55, bapa Muhammad Fareez, 14, yang terlantar selepas terbabit nahas Februari lalu.
Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik itu terbabit kemalangan motosikal berhampiran rumahnya di Kampung Telok, Ayer Tawar di sini.
“Sewaktu kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama rakan sebelum motosikalnya terbabas. Dia cedera parah, manakala rakannya maut.
“Anak saya menjalani rawatan di Hospital Seri Manjung dan Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh lebih sebulan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mat Jelani memberitahu, doktor memaklumkan anaknya mengalami kecederaan serius di bahagian dalaman iaitu paru-paru dan usus.
Mangsa turut mengalami pendarahan di kepala, menyebabkan separuh tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
“Sejak itu, saya, isteri, dan adik-beradiknya bergilir-gilir menjaga Fareez. Setiap tiga jam dia perlu meminum susu, kami juga perlu peka dengan keadaan kahaknya kerana ia perlu dibuang,” katanya.
Pemandu lori itu berkata, dia perlu berbelanja lebih RM2,000 sebulan termasuk membeli susu. Jelasnya, sambutan syawal juga disambut ala kadar selepas anaknya ditimpa musibah itu.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lumut, Mohd. Rafiq Mohd. berkata, pihaknya prihatin dengan nasib Muhammad Fareez dan mengambil langkah bagi meringankan beban keluarganya.
“Kami menyerahkan bantuan kewangan serta barangan selain membantu keluarga ini mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Muhammad Fareez boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 158181196162 atas nama Mat Jelani.