PUTRAJAYA – Jangan cuba keluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat sebaliknya mendidik rakyat mendapatkan tiket pada harga penerbangan murah.
Itu nasihat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung dakwaan dibuat Ahli Parlimen Ayer Hitam mengenai harga tiket penerbangan Kuala Lumpur- Tawau yang dikatakan mencecah lebih RM3,000.
Loke berkata, bekas Menteri Pengangkutan itu sepatutnya mempunyai pengetahuan mendalam mengenai industri penerbangan dan bukannya merujuk perbandingan harga menerusi aplikasi tiket semata-mata.
“Bekas menteri tidak akan tidak tahu bahawa Malaysia Airlines (MAS) ada aplikasi sendiri, kalau periksa tiket MAS, mengapa guna aplikasi AirAsia (Super App)?
“Ia ibarat nak beli KFC tapi pergi ke McDonald’s,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, isunya ketika ini ialah ada pihak ketiga yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines menerusi aplikasi lain.
Loke berkata, pihaknya mengakui ada pelbagai aplikasi yang menjual tiket untuk Malaysia Airlines, malah perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAB), Kapten Izham Ismail.
“Izham juga memaklumkan Malaysia Airlines kini ada pertikaian dengan AirAsia berkenaan dengan penjualan tiket itu melalui aplikasi AirAsia.
“Jadi, Malaysia Airlines sudah memfailkan injuksi terhadap Super App AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines, tapi itu (perkara yang perlu diselesai) antara dua pihak ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Loke berkata, sebanyak 78 peratus kerusi MAS telah terjual sepanjang musim perayaan ini dengan harga yang ditawarkan RM209 sehingga RM841 bagi kelas ekonomi.
“Malah, AirAsia juga menawarkan harga tiket tetap pada kadar RM199 ke Sarawak dan RM249 ke Sabah bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE