BACHOK – Kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar di Kampung Beris Lalang dan Kampung Beoh di sini akibat cuaca panas sejak dua minggu lalu mampu dipadamkan dalam kadar segera menggunakan teknik khas pemadaman api bawah tanah.
Penolong Penguasa Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Wildan Azahari berkata, hanya kaedah berkampung dan strategi khusus di lapangan dapat menyekat api dari bawah tanah dapat dipadamkan.
Menurutnya, sehingga kini, hanya 1.6 hektar tanah yang masih terbakar yang dipantau sepenuh masa oleh anggota bomba yang bertugas.
“JBPM turut menggunakan dron untuk mengesan lokasi yang baharu yang dikhuatiri terbakar selain meninjau kesan pemadaman api yang dilaksanakan secara berkala.
“Kita menetapkan tugasan memadam kebakaran tanah gambut ini kepada Pejabat Bomba dan Penyelamat Bachok secara penuh masa manakala bagi kes lain seperti kebakakaran dan lain-lain kemalangan akan diambil alih oleh pejabat bomba yang berdekatan ,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Beoh di sini hari ini.
Mohd. Wildan memberitahu, kebanyakan lokasi kebakaran membabitkan pokok getah yang sudah boleh ditoreh dan kebun kelapa sawit.
Katanya, hujan lebat merupakan satu kaedah untuk memadam keseluruhan kebakaran bawah tanah yang dilaporkan berlaku sejak dua minggu lalu.
“Seramai 20 hingga 30 orang anggota yang diperlukan dalam perancangan strategi mengikut keperluan selain menggunakan pancang khas untuk mengalirkan air ke bawah tanah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Wan Aminordin Wan Kamruddin berkata, pihaknya telah mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dengan melakukan pemeriksaan harian di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.
Menurutnya, air dari telaga tiub dan parit-parit berdekatan dimanfaatkan untuk pemadaman api dan pengekalan kelembapan tanah.
“Pemilik tanah kebun yang menjadi punca kebakaran tanah gambut turut dikesan bagi membantu siasatan berkaitan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,”katanya. – KOSMO! ONLINE.