fbpx

Mahkamah: Wanita kontroversi buka baju kurung Siti Nuramira didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nuramira ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio

KUALA LUMPUR – Wanita kontroversi Siti Nuramira Abdullah yang tular selepas membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi tahun lalu, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Nuramira, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan hari ini.

Ini kerana pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi (Siti Nuramira) yang dihantar pada 16 Mac lepas.

Mahkamah turut memerintakan wanita itu menjalani penjara empat bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda tersebut.

“Oleh itu, tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan dilapangkan,” kata hakim itu.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk sambung bicara bagi pemeriksaan balas oleh peguam terhadap saksi pendakwaan pertama Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa.

Mengikut pertuduhan pilihan, Siti Nuramira didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut dia seorang muslim yang menghafal 15 juzuk Al-Quran dan membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan atas pentas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr. Ismail di sini pukul 6 petang, 4 Jun 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh mendapat perhatian serta liputan meluas di negara ini selain hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh mengambarkan keseriusan perkara ini .

“Dalam kes ini, tertuduh pada asalnya dituduh di bawah Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dan ditawarkan dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 hari ini.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, demi menjaga keharmonian negara tiada sesiapa wajar membuat perkara melukakan perasaan penganut agama dan mengganggu mana-mana agama,” kata Abdul Malik.

Bagaimanapun peguam R.Sivaraj memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan selain wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah dengan itu melayakkan tertuduh mendapat diskaun hukuman.

“Selepas beliau dituduh di mahkamah, dia tidak pernah melakukan persembahan komedi atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan kesalahan sebelum ini, beliau juga tiada akaun media sosial selepas kejadian itu serta menyepikan diri serta tidak mengundang sebarang kontroversi lain.

“Kes ini telah menjadi satu topik perbualaan hangat sewaktu ditular pada tahun lepas.

“Ini menyebabkan perubahan drastik dalam gaya hidup tertuduh dari segi keperibadian, kesihatan mental dan hubungan sosialnya dan pengalaman beliau ditangkap dan ditahan reman di lokap serta dipenjara lebih kurang 10 hari memandai sebagai pengajaran. Tertuduh telah menyesal dan memohon maaf atas perbuatannya,” kata peguam itu.

Sebelum ini, pada tahun lalu tular satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI