fbpx

Laporan penuh kematian Koperal Mohammad Nasri siap dua minggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly Zahari

ALOR GAJAH – Laporan penuh kematian anggota Tentera Darat, Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak dijangka lengkap dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini laporan siasatan telah mencapai 50 peratus dan perkembangan semasa itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet, Rabu ini.

“Selepas hari raya kita yakin laporan penuh mengenai siasatan kematian Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib akan siap, mungkin dalam tempoh dua minggu lagi.

“Biasanya perkembangan siasatan akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet pada hari Rabu petang, jadi di situ kita akan dapat sedikit perkembangan laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Alor Gajah di sini, petang semalam.

Tambahnya, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan waris terutama isteri, Nurhayatul Husna, 30, serta anaknya, Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, terjamin.

“Ini termasuklah soal pendidikan anak-anak Allahyarham, kita akan pastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Mohammad Nasri dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Royal Belum, Gerik pada 12.50 tengah malam pada 7 April lalu.

Mangsa yang merupakan anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang bagaimanapun dijumpai telah meninggal dunia kira-kira pukul 10.15 pagi pada 12 April.

Mayatnya dilaporkan dijumpai dalam keadaan sempurna berdekatan sungai di hutan berkenaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI