PETALING JAYA – Upacara rasmi penamaan Littoral Mission Ship (LMS) Ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
TLDM menerusi satu kenyataan berkata, LMS Ketiga itu telah selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd. (WSIG), Wuhan, China pada 28 Oktober lalu.
“Fasa seterusnya adalah Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan namun susulan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di kedua-dua negara (Malaysia dan China), upacara rasmi berkenaan telah ditangguhkan.
“Ia akan dilaksanakan serentak dengan Upacara Penyerahan Fizikal kapal yang dijadual dilaksanakan pada September 2021,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, LMS Ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD Keris
(LMS Pertama) dan Sundang (LMS Kedua) manakala sebuah lagi kapal (LMS Keempat) dijangka akan dilancarkan pada November depan.
“Perolehan kapal-kapal LMS ini dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd. (CSOC), China.
“LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 yang berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, TLDM berkata, LMS Ketiga itu bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.
“Bakal Warga Kapal (BWK) LMS Ketiga dijangka akan diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei tahun hadapan di China.
“Bagi Sundang pula, penyerahan LMS kedua TLDM itu yang dijadualkan pada 12 April lalu telah turut terjejas susulan pandemik Covid-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan apabila BWK Sundang selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China,” jelasnya.