KUANTAN – Sebanyak 2,500 bubur lambuk air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diagihkan kepada penghuni Penjara Penor, di sini, hari ini.
Dalam program julung kali diadakan di penjara terbabit, sebanyak tiga kawah bubur lambuk dinamakan sebagai bubur Che Minah Sayang (CMS) diagihkan kepada penghuni penjara serta kakitangannya.
Tunku Azizah bertitah, baginda menamakan bubur lambuk berkenaan bersempena gelaran yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap baginda
“Kalau di Pahang kita panggil bubur lambuk itu yang ada daun tetapi di Kuala Lumpur, bubur daging juga dipanggil bubur lambuk jadi saya nak tukar nama, tak nak panggil bubur lambuk tetapi panggil ‘bubur Che Minah Sayang’,” titah baginda ketika menghadiri Program Bubur Lambuk di Penjara Penor, di sini, hari ini.
Titah Baginda, program terbabit akan dijadikan program tahunan untuk Penjara Penor dan Bentong pada masa akan datang.
Dalam pada itu, baginda juga berkenan meluangkan masa menyantuni peserta bengkel Tenun Pahang Diraja di di penjara terbabit.
Bengkel Tenun Pahang Diraja, Penjara Penor merupakan idea dan inisiatif Raja Permaisuri sejak 2006 bertujuan mengekalkan seni tenunan warisan Pahang berusia sejak 300 ratus tahun yang lalu. – KOSMO! ONLINE