KOTA KINABALU – Seorang anggota polis putus kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Lintas, berhadapan City Mall semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 malam itu, mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun dan bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menurut saksi kejadian, sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.
“Saksi kejadian membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu, namun kenderaan berkenaan telah masuk ke laluan sebelah. Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak mengakibatkan berlakunya perlanggaran dengan jip berkenaan.
“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut, manakala pemandu jip tidak mengalami sebarang kecederaan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu jip diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk dianalisa kandungan alkohol dan dadah dalam darahnya,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, jip itu akan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE