KOTA TINGGI – Seorang wanita warga Myanmar berketurunan Rohingya menangis selepas dia bersama dua anak berusia 3 hingga 5 tahun dicekup dalam Op Bersepadu Pengemis Pendatang Tanpa Izin di sekitar Bandar Kota Tinggi hari ini.
Wanita berusia 40 an yang merupakan pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) telah tamat tempoh itu merayu supaya dilepaskan dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan mengemis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan, Nik Azaham Nik Aziz berkata, wanita terbabit antara enam yang ditahan dalam operasi tersebut dan hasil siasatan mendapati ada antara pengemis itu datang dari luar negara dan terdiri dari mualaf.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah adakan ops bersepadu kesan pengemis dalam daerah ini bermula pukul 2. 30 sehingga 4.30 petang tadi.
“Hasil tinjauan di bandar Kota Tinggi pihak kami telah berjaya menahan tiga lelaki, satu perempuan Myanmar dan dua kanak-kanak Myanmar berada di kawasan bank minta sedekah tanpa ada kebenaran pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Kesemua tangkapan ini diserahkan kepada pihak Imigresen selebihnya diserah kepada JKM. Kes disiasat dibawah Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang media selepas operasi tersebut di IPD Kota Tinggi.
Nik Azaham berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan bagi pengutip derma yang mensasarkan kawasan orang ramai seperti bazar Ramadan dan pasar malam .
“Kepada orang ramai kita nasihatkan agar salurkan derma kepada saluran yang disahkan dan diperakui MAINJ dan jabatan-jabatan lain terutama majlis zakat dan lain-lain, ” katanya. – KOSMO! ONLINE