fbpx

KPPK sumbang 200,000 helai sarung tangan getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin meninjau kerja-kerja memunggah pelbagai barangan bantuan termasuk yang disumbangkan KPPK yang akan diterbangkan ke Sabah di Pangkalan Udara TUDM Subang pagi tadi.

PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyumbang 200,000 helai sarung tangan getah perubatan buat petugas barisan hadapan di Sabah dan Lembah Klang dalam usaha memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut diselaraskan oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) iaitu sebuah agensi di bawah KPPK.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 helai sarung tangan getah diperuntukkan untuk hospital di Lembah Klang manakala 150,000 lagi yang disumbangkan oleh syarikat YTY dan Top Glove akan diagihkan kepada hospital di Sabah.

“Bekalan untuk hospital di Sabah akan diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya di sini hari ini.

Penghantaran barang-barang keperluan kritikal termasuk sarung tangah getah ke Sabah itu dibuat menerusi pesawat A400M milik TUDM dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Sementara itu, Khairuddin berkata, pihak kementerian telah menyumbang sebanyak 21 juta helai sarung tangan getah perubatan sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Katanya, sumbangan itu diselaraskan oleh MRC dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bagi memenuhi keperluan semua petugas barisan hadapan.

“KPPK sentiasa peka dan prihatin dengan situasi yang mendesak dalam kalangan para petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian amat menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada MRC serta ahli-ahli MARGMA atas sumbangan berkenaan.

“Diharapkan usaha seperti ini diteruskan malah dapat disertai oleh lebih banyak syarikat-syarikat korporat sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa negara dilanda musibah,” katanya.

Gelombang pandemik wabak Covid-19 terus melanda negara dengan Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes positif iaitu mencecah seramai 14,053 orang daripada keseluruhan kes seramai 30,090 orang di seluruh negara sehingga semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI