fbpx

Pendatang asing banjiri AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendatang asing berjalan di daerah Chinatown di Bandar Raya New York pada 11 Julai 2014.- AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menjadi negara tumpuan utama pendatang asing dari seluruh dunia dengan kemasukan lebih 45 juta imigran ketika ini, demikian menurut anggaran banci terkini seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN kelmarin.

Angka tersebut mewakili 13.6 peratus daripada populasi negara itu, iaitu kira-kira sama seperti abad yang lalu. Namun, selama bertahun-tahun, terdapat perubahan ketara dari segi asal-usul imigran dan lokasi mereka menetap sejurus tiba di AS.

Selama beberapa dekad, pendatang Mexico mendahului senarai bagi imigran yang tinggal di AS dan trend itu sama sejak 1980, demikian menurut Institut Dasar Migrasi (MPI).

Laluan Mexico-AS adalah koridor migrasi terbesar di dunia, namun jumlah pendatang Mexico yang tinggal di negara itu telah merosot selama lebih sedekad lalu.

Dianggarkan seramai 10.7 juta pendatang Mexico menetap di AS pada 2021 iaitu kira-kira kurang satu juta daripada dekad sebelumnya.

Tambah MPI, pendatang dari negara lain termasuk India dan China dalam masa sama telah meningkat.

Seperti yang diberitahu oleh seorang pakar kepada CNN tahun lepas, punca mengapa orang ramai berhijrah ke AS dari segenap pelosok dunia adalah berbeza. Antaranya, mencari peluang ekonomi, melarikan diri daripada keganasan, penganiayaan atau bencana iklim serta berharap untuk bersatu semula dengan ahli keluarga yang berada di situ.

Menurut analisis data banci MPI, 10 negara asal yang paling ramai pendatang asing di AS terdiri daripada Amerika Latin dan Asia.

Mexico berada pada kedudukan pertama, dan diikuti dengan India, China, Filipina, El Salvador, Vietnam, Cuba, Republik Dominican, Guatemala dan Korea.

Laporan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS pada 2021 menganggarkan enam negara asal teratas bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara itu adalah Mexico, El Salvador, Guatemala, India, Honduras dan China.

Namun, sebahagian besar imigran yang tinggal di AS memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Anggaran terkini Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan kira-kira 10.5 juta PATI berada di AS, dan ini bermakna sebahagian besar (77 peratus) daripada imigran berada di negara itu secara sah.

“Ia secara asasnya mengubah demografi negara,” kata pakar Pengajian AS di Kolej Amherst, Profesor Pawan Dhingra.

Ketika ini, negeri seperti California, Texas, Florida, New York dan New Jersey menjadi ‘rumah’ kepada bilangan imigran terbesar.

Sesetengah negeri pula mempunyai bilangan imigran yang lebih besar berbanding jumlah penduduk tempatan seperti di Hawaii, di mana pendatang asing membentuk hampir 19 peratus daripada penduduk negeri itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI