TINGGAL beberapa lagi Ramadan bulan mulia dan penuh berkat akan meninggalkan kita. Begitu pantas masa berjalan, sedar tidak sedar Syawal pula yang bakal menjelma.
Hakikatnya persiapan menyambut Syawal sentiasa menjadi perhatian ramai. Ada yang belum Ramadan lagi telah menempah dan membeli baju raya.
Malah, minggu-minggu terakhir sebelum menjelang Syawal, pusat tumpuan ramai Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman penuh sesak dengan manusia.
Entah apa yang dicari, masing-masing ada jawapan tersendiri. Harapnya jangan dilupa untuk turut mencari malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir.
Apa yang pasti, jika semua kelengkapan raya telah siap sedia. Ada satu cabaran yang amat sukar untuk diatasi menanti golongan perantau untuk pulang ke kampung halaman iaitu kesesakan jalan raya.
Rancanglah strategi apa pun – bertolak selepas berbuka puasa, bertolak tengah malam, selepas sahur, sesudah subuh dan sebagainya. Anda akan tetap berdepan kesesakan sehinggakan perjalanan biasa enam atau tujuh jam menjadi 15 hingga 20 jam.
Keadaan itu disebabkan lebih 5 juta kenderaan akan bergerak pulang dari destinasi masing-masing khususnya di Lembah Klang untuk ke utara, selatan dan timur khususnya menjelang Rabu, Khamis dan Jumaat ini.
Suasana ini diburukkan lagi apabila saban tahun jumlah kenderaan di atas jalan raya semakin meningkat setiap tahun. Dilaporkan sepanjang tahun lalu (2022), industri automotif tempatan mencatat sejarah jualan 720,658 unit kenderaan.
Sementara bagi tahun 2021 (508,9221) dan 2020 (529,514) menurun sedikit akibat pandemik Covid-19 berbanding 2019 (604,286 unit).
Bayangkan dalam tempoh empat tahun ini, lebih 2 juta kenderaan bertambah dan lihatlah sendiri betapa jalan raya atau lebuh raya untuk menampung kenderaan terbabit tidak jauh berubah seperti lima atau 10 tahun lalu.
Sebab itu, tempoh masa perjalanan kita pada musim-musim perayaan semakin hari menjadi semakin lama dan panjang. Hari ini ada yang terpaksa menempuh masa 20 jam untuk balik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Ia seakan sama bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke New York!
Pada saat-saat ini, rindu pula dengan idea pengeluaran kereta terbang. Bila agaknya akan berada di pasaran? Semoga semua selamat tiba ke destinasi masing-masing. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. -KOSMO! ONLINE