KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menyasarkan 10 lokasi sekitar Lembah Klang bagi penganjuran Jualan Agro Madani sehingga pertengahan tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lokasi tersebut termasuk di Kampung Johan Setia seterusnya membantu golongan B40 dan M40 mendapatkan barangan keperluan di tapak jualan.
“Secara umumnya, barangan seperti ayam, daging, ikan serta sayur dijual sehingga 30 peratus daripada harga pasaran.
“Seramai 5,000 pengunjung dijangka mengunjungi semua lokasi Jualan Agro Madani ini dengan unjuran penjimatan perbelanjaan sehingga RM45,000,” katanya selepas merasmikan Jualan Agro Madani peringkat kebangsaan di Kampung Johan Setia, di sini hari ini.
Jelas beliau, pemakluman kesemua lokasi akan dilakukan menerusi laman Facebook dan media sosial rasmi milik FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, Jualan Agro Madani akan dianjurkan di kawasan bandar yang mempunyai ramai penduduk.
“Sekiranya program ini mendapat sambutan mengalakkan, kita tidak menolak kemungkinan memperluaskannya di seluruh negara,” katanya. – KOSMO!ONLINE