HULU SELANGOR – Polis sedang giat mengesan seorang doktor wanita bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan pada 12 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, doktor berkenaan sebelum itu pernah menghubungi polis memaklumkan kejadian rogol melibatkan remaja berusia 16 tahun yang hadir ke klinik di Jitra, Kedah.
Katanya, panggil telefon kira-kira pukul 4.40 petang itu menyatakan remaja perempuan itu mengadu sakit perut, loya, muntah dan tidak datang period.
“Hasil pemeriksaan dapati pesakit tidak mengandung dan telah memaklumkan kepada doktor tersebut dirinya pernah melakukan hubungan seksual dengan teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, polis mendapati saksi penting dalam kes ini merupakan seorang doktor bernama Fatimatuz Zahra Abu Bakar yang bertugas semasa menerima pesakit tersebut.
“Oleh itu, hebahan ini bertujuan meminta supaya doktor tersebut menghadirkan diri ke Bahagian Siasatan Jenayah IBu Pejabat Polis Hulu Selangor.
“Saksi juga boleh menghubungi segera pegawai penyiasat, Inspektor Zulaikha Mohamed di talian 0360641222. – KOSMO! ONLINE.