PASIR PUTEH – Kertas siasatan berhubung kes penyeludupan dadah jenis heroin bernilai RM789.56 juta yang dilaporkan lolos melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada umum.
Menurutnya, JKDM sudah kerjasama dengan pegawai atasan di Kedutaan Malaysia di Australia bagi membantu melengkapkan siasatan berkait dengan kes terbabit.
“Hasil siasatan itu akan diserahkan segera kepada Perdana Menteri dan saya tidak dapat mendedahkannya kerana maklumat berkenaan perlu dirahsiakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Pegawai Operasi Khas Bersepadu di Pejabat JKDM Tok Bali, di sini semalam.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, sebanyak 336 kilogram dadah jenis heroin di dalam kontena dari Malaysia dirampas oleh pihak berkuasa Australia pada 13 Mac lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, pihak berkuasa Australia telah berjaya merampas dadah heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa JKDM menyediakan laporan penuh berhubung kes tersebut dan sesuatu yang memalukan sekiranya perkara itu benar dan dadah terbabit dari Pelabuhan Klang.- KOSMO! ONLINE