fbpx

Piala FA: Gergasi Merah ‘belasah’ Sri Pahang 4-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mukhairi Ajmal meraikan jaringan yang dilakukan bersama rakan sepasukan sebentar tadi. Foto ihsan Selangor FC

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC mempamerkan belang sebenar untuk mara ke pusingan suku akhir Piala FA selepas mudah menewaskan Sri Pahang 4-0 pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan Faisal Halim, Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco mengetuai jentera serangan.

Pasukan tuan rumah terpaksa menunggu pada minit ke-41 untuk meledak gol pembukaan hasil jaringan jarak jauh yang dilakukan oleh pemain muda, Mukhairi Ajmal yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi.

Mukhairi sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila meledak gol kedua selepas menerima hantaran daripada Quentin Cheng pada minit ke-59.

Selangor terus ghairah mengasak dan kali ini giliran Faisal untuk menambah derita Sri Pahang dengan menjadikan kedudukan 3-0 berselang lapan minit kemudian.

Malam gemilang Selangor diteruskan apabila kapten pasukan, Brendan Gan turut mencetak nama selaku penjaring menerusi rembatan luar kotak penalti pada minit ke-72.

Sri Pahang berusaha untuk mencari gol sagu hati tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI