PENANG FC bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir Piala FA selepas mengesahkan kemaraan apabila membelasah Kuching City FC 4-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Tiga bintang import Harimau Kumbang berjaya memainkan peranan besar buat pasukan, menyaksikan Soony Saad, Rafael Vitor dan Giovane Gomes menyumbangkan satu gol manakala satu lagi jaringan dicipta oleh Hadin Azman.
Terdahulu, Penang terpaksa berpuas hati dengan kelebihan satu gol sepanjang 45 minit pertama hasil jaringan tunggal Saad seawal minit ke-10.
Bersambung babak kedua, Harimau Kumbang mula menyerlahkan taring sebenar dan hanya memerlukan tiga minit untuk mendapatkan gol kedua menerusi Vitor sebelum Hadin menambah jaringan ketiga pada minit ke-65.
Ketika aksi hampir berakhir dengan 3-0, di penghujung masa tambahan menyaksikan Gomes turut memastikan namanya berada dalam senarai penjaring selepas melakukan lonjakan tinggi bagi menyambut umpanan menarik daripada Faris Shah Rosli.
Di Stadium Likas, Sabah terus membawa cabaran kelab dari Borneo selepas membenam cabaran Kelantan United 2-0.
Baddrol Bakhtiar yang menggalas tugas selaku kapten pantas membalas kepercayaan Datuk Ong Kim Swee apabila membuka jaringan perlawanan seawal minit ke-13 namun selepas itu tuan rumah dihimpit masalah prestasi apabila gagal tampil lebih baik untuk beri ruang kepada pelawat ‘mencuri’ ruang mengatur gerakan.
Dengan kelebihan satu jaringan, Sabah sepatutnya mampu tampil lebih baik namun ia gagal direalisasikan dan dianggap bernasib baik kerana Kelantan United seakan hilang idea setiap kali menghampiri kotak penalti tuan rumah.
Selepas mempersiakan beberapa peluang terbaik, minit ke-59 penyokong tuan rumah akhirnya kembali ceria apabila memperoleh gol kedua hasil ledakan pemain gantian, Stuart Wilkin.
Sebaik memasuki minit ke-73, Jailton Da Silva sekali lagi menggegarkan gawang pelawat sebaliknya pengadil perlawanan S. Logeswaran membatalkannya kerana mendakwa bintang import The Rhinos itu mengasari penjaga gol lawan, Muhamad Ilham Amirullah Razali. – KOSMO! ONLINE