Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menempelak corak permainan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC yang kerap melengahkan permainan pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Biarpun Harimau Selatan menang selesa dengan jaringan 3-0, Solari berkata, pemainnya tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar setelah terganggu dengan taktik yang dilakukan pasukan The Cops itu.
Jelas Solari, pada babak kedua purata aksi sebenar hanya sekitar 10 hingga 15 minit sahaja, selebihnya disia-siakan dengan aksi tidak sepatutnya seperti bermain agresif, melengahkan masa dan melakukan provokasi.
“Pada babak pertama, kami bermain dengan baik walaupun bukan mudah untuk menentang pasukan yang ‘berkampung’ di kawasan sendiri. Kami bermain dengan cantik, mampu mencipta banyak peluang dan meledak tiga gol.
“Lain pula situasinya pada babak kedua, rentak permainan pasukan terganggu dan gagal beraksi seperti yang dimahukan setelah permainan terhenti berulang kali disebabkan taktik melengahkan masa ini.
“Saya tak rasa penonton berpuas hati dengan aksi pada babak kedua, mereka menjangkakan persembahan yang menarik dan pemain tidak dapat beraksi dengan baik,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, pemainnya mengambil pengajaran daripada perlawanan itu apabila mereka akan menentang pasukan sama pada minggu depan.
Dalam masa yang sama, Solari berharap pengadil mampu mengawal perlawanan sebaik mungkin dan tidak membenarkan perkara itu berlarutan hingga merosakkan satu pertembungan yang sepatutnya menjanjikan aksi memukau.