AUSTIN, TEXAS – Penumpang kenderaan utiliti sukan yang melalui sebuah lebuh raya di negeri Texas maut apabila tayar sebuah treler tercabut, terpelanting dan menimpa cermin depan kenderaan mangsa, lapor akhbar New York Post.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) di lorong arah barat Lebuhraya Katy dekat Blalock.
Pihak berkuasa berkata, treler 18 tayar itu dalam perjalanan ke arah timur apabila salah satu tayarnya terpelanting.
Tayar sesat itu kemudian melantun ke lorong bertentangan dan melanggar bahagian hadapan SUV mangsa sebelum merempuh penghadang sisi.
Pemandu SUV bagaimanapun dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Menurut pihak berkuasa, pemandu treler terbabit tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah timur kerana mungkin tidak menyedari apa yang berlaku.
Semua lorong arah barat Lebuhraya Katy ditutup selama lebih sejam ekoran kejadian itu. – Agensi