fbpx

22 juta orang solat di Masjidil Haram sepanjang dua pertiga Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 22 juta jemaah bersolat di Masjidilharam pada dua pertiga Ramadan di Mekah. - Foto AFP

MEKAH – Lebih 22 juta jemaah mengerjakan solat di Masjidil Haram, kota suci Mekah sepanjang dua pertiga Ramadan, demikian menurut Presiden Ketua Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, seperti laporan portal berita Saudi Gazette kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan pelan operasi yang komprehensif dan strategik bagi memenuhi keperluan jemaah serta pengunjung masjid.

Mereka juga memudahkan semua perkhidmatan termasuk aspek keselamatan supaya pengunjung Masjidil Haram dapat beribadah dengan selesa.

Jumlah tetamu Allah di Masjidil Haram pada malam 23 Ramadan mencecah lebih 1.4 juta orang, kata Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Adalah difahamkan, lebih satu juta botol air zamzam telah diagihkan kepada jemaah haji, manakala penerima bantuan daripada khidmat sukarelawan itu adalah kira-kira 452,000 jemaah.

Lebih 115,000 orang telah mendapat manfaat daripada buku kecil dan risalah dan 120,000 jemaah menerina faedah daripada khidmat digital, manakala lebih 98,000 orang mendapat manfaat daripada perkhidmatan sosial serta kemanusiaan.

Bagi warga emas dan orang kurang upaya pula, penerima bantuan sama mencecah 6,800 orang selain lebih 6,000 jemaah umrah mendapat manfaat daripada Tatweef iaitu perkhidmatan panduan umrah.

Bulan Ramadan yang bermula pada 23 Mac lalu menyaksikan kemasukan besar jemaah umrah dan pelawat ke tempat-tempat suci di Arab Saudi, lapor portal berita Al Arabiya.

Al Arabiya melaporkan, satu pelan terperinci bertujuan untuk membantu pengalaman jemaah pada hari-hari terakhir Ramadan dan memastikan perkhidmatan berkualiti tinggi diberikan kepada mereka, mula dilaksanakan sejak Selasa lepas.

Rancangan itu termasuk membasuh Masjidil Haram 10 kali sehari oleh lebih 4,000 pekerja, manakala lebih 70 pasukan beroperasi setiap masa untuk membersihkan semua kawasan di masjid itu.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga akan digunakan untuk menjalankan operasi pembasmian kuman di Masjidil Haram dengan 11 robot akan melaksanakan tugas itu selama lapan jam tanpa campur tangan manusia.

Pelan itu juga menyediakan kira-kira 8,000 kenderaan termasuk 3,000 kenderaan elektrik untuk mengangkut jemaah dari tempat letak kereta ke dewan solat, manakala mereka boleh membuat tempahan awal melalui aplikasi Tanaqol.

Lebih 160 kakitangan turut ditempatkan di pintu masuk Masjidil Haram bagi memudahkan jemaah keluar masuk serta membantu menjawab sebarang pertanyaan mereka.

Mengenai penyelenggaraan, Presidensi tersebut telah menyediakan lebih 90 jurutera dan juruteknik di Masjidil Haram dan pekarangannya. Ia termasuk lebih daripada 200 tangga eskalator serta 14 lif.

Pihak Presidensi juga menggesa jemaah supaya mematuhi semua arahan di Masjidil Haram dan menyatakan bahawa kerjasama dengan kakitangan keselamatan adalah perlu untuk menjaga keselamatan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI