fbpx

Mungkin juga kifarah buat kami – Uqasha Senrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN diserang lelaki tidak dikenali bulan lalu meninggalkan kesan emosi trauma dan fobia terhadap Uqasha dan Kamal.

TIDAK mahu pisang berbuah dua kali, aktres jelita Uqasha Senrose mengakui takut untuk berkunjung ke Singapura selepas insiden berdarah menimpa suaminya, Kamal Adli.

Masih trauma dan takut kata si cantik manis itu, namun menurutnya, perlahan-lahan dia mendapat kekuatan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Sentiasa berteman, tak berseorangan

Biarpun Kamal sudah semakin pulih, insiden ngeri yang menimpa mereka sangat memberi dampak terhadap emosi masing-masing.

“Kenalah berteman sentiasa. Tak bolehlah seorang diri. Sekarang pergi kerja dan terus balik. Itu sahaja,” katanya kepada Pose usai sidang akhbar filem lakonan terbaharunya, Sumpahan Jerunei, baru-baru ini.

Uqasha, 31, memaklumkan raya kali ini dia mengambil pendekatan ‘berkurung’ demi menjaga keselamatan suami dan orang-orang rapat di sekeliling.

“Raya tak keluar kot. Saya akan ada dengan keluarga dan adik-adik. Kebetulan, tahun ini giliran beraya di belah keluarga saya,” ujarnya.

Kamal tak ‘sporting’

Sedikit beremosi ketika bercerita pasca insiden terbabit yang hampir meragut nyawa suaminya, pelakon drama rantaian Isteri Halal itu berkata, Kamal sekarang sedikit ‘berbeza’ berbanding sebelum ini.

KEADAAN Kamal kini sudah pulih sepenuhnya, namun pasangan serasi ini mengakui masih dihambat fobia dan trauma.

“Sekarang drama Isteri Halal sedang hangat ditayangkan. Ada selalu tunjukkan emosi yang tak pernah dipaparkan.

“Sebelum ini, Kamal sangat ‘sporting’, dia tahu saya punya tugas sebagai pelakon tapi sekarang sebab kena duduk rumah dan tertekan, benda kecil pun kadang-kadang jadi isu.

“Saya faham sangat apabila dia kena ‘berkurung’. Kes masih lagi dalam siasatan dan tindakan pihak mahkamah, masih tunggu kata putus.

“Buat masa sekarang, saya tak boleh dedahkan apa-apa kerana masih dalam siasatan,” jelasnya.

Ditanya sama ada Kamal berdegil untuk mendapatkan rawatan di hospital atas kecederaan dialami, Uqasha berkata: “Dia sendiri tak nak (terima rawatan). Dia cakap pada saya, pukullah dirinya dengan cota 50 kali pun, dia tak nak jumpa doktor.

“Alasan diberikan, dia takut doktor dan jarum. Masa saya tengok jahitannya, luka cedera dialaminya dalam lima sentimeter. Lukanya dalam. Nak tak nak kena jahit juga.

“Itupun pada mulanya dia tak nak jahit. Dia kata, ‘ada tak gam UHU’. Dia boleh melawak begitu. Kita dah menangis sebelah dia.”

Rawatan susulan

Ditanya tentang keadaan terkini Kamal, Uqasha memaklumkan, sepatutnya suaminya mendapatkan rawatan susulan berkala, namun aktor itu enggan melakukannya.

UQASHA mengupah pengawal peribadi atas faktor keselamatan susulan insiden suaminya diserang di Singapura pada Mac lalu.

“Kamal kena buat imbasan x-ray dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) sebab tak tahu apa jadi ‘di dalam’, tapi dia tak nak.

“Dia memang takut hospital. Saya galakkan dia terima rawatan. Pada masa sama, saya tak nak beri tekanan padanya. Selagi tak muntah-muntah, dia kata dia okey. Jadi, tak mengapalah.

“Tengok keadaan dia begitu, isteri mana yang tak risau? Saya pula jenis ‘mabuk darah’. Kalau saya boleh imbas insiden tempoh hari, saya ingat lagi darah Kamal saya perah pakai kain bukan tisu.

“Kalau lambat (ke hospital) hari itu, mungkin teruk cedera di otak Kamal. Mungkin dia alami concussion (gegaran atau trauma otak yang teruk),” ujarnya.

Menerima apa yang berlaku sebagai satu ujian daripada Allah SWT, Uqasha percaya apa terjadi, ada hikmah tersendiri.

“Mungkin apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin juga ini kifarah buat kami. Siapa tahu kan. Tapi, alhamdulillah tiada apa-apa yang serius sangat dan Kamal pun makin sihat.

“Buat masa sekarang, saya nak keluar dalam Malaysia pun takut. Pergi beli-belah pun takut tapi saya harap semuanya beransur-ansur kembali seperti biasa,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI