PETALING JAYA – Sebanyak 34,643 permohonan layak menerima Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan jumlah RM722 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia adalah berdasarkan daripada 74,392 permohonan yang diterima pihaknya sejak ia dibuka 7 April lalu sehingga semalam.
“Fasiliti ini disediakan KWSP bagi membolehkan ahli membuat permohonan awal membabitkan Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun Atau Umur 55 Tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian.
“KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi kini Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan terdapat kekeliruan sebahagian ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini.
Jelasnya, bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan Akaun 2 dan disokong pendapatan berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan ahli.
“Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” ujarnya.
Tambahnya, melalui inisiatif ini juga, sebanyak dua bank telah mengambil bahagian bagi FSA2 iaitu MBSB melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i pada 7 April lalu dan BSN melalui MyRinggit Insan-i, diperkenalkan mulai hari ini.
Katanya, KWSP amat berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong FSA2 selain percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka.
“Permohonan akan dibuka selama setahun, membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun,” jelasnya.
Jumlah kelayakan pembiayaan peribadi ini berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.
Ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN dan selelas pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.
Di bawah Fasa 1 pula, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank serta amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli.
Ahli juga boleh rujuk http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan bagi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon.
Ahli juga disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000. – KOSMO! ONLINE