fbpx

Imam Muda Fakhrul bangunkan akademi al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK dibangunkan pada 2018, Akademi Al Quran Amalillah atau AKMAL berjaya melahirkan ramai hafiz dan hafizah cemerlang.

PETALING JAYA – Biarpun namanya tidak sepopular ustaz selebriti yang lain, Imam Muda Fakhrul tidak pernah berhenti dalam melakukan kerja-kerja dakwah.

Malah, sepanjang bulan Ramadan jadualnya cukup padat dengan jemputan tazkirah dan menjadi imam solat sunat tarawih di masjid-masjid.

“Saya memang jarang kemas kini aktiviti dalam media sosial kerana jadual kerja yang cukup padat kerana saya bergerak sendirian tidak ada pekerja lain yang membantu.

“Soal popular atau ‘low profile’ saya pun tidak tahu hendak komen sebab saya masih buat perkongsian tentang topik-topik tertentu dalam media sosial seperti TikTok. Cuma jarang ‘update’ tentang kerja,” ujarnya.

Fakhrul meneruskan kerja-kerja dakwah dengan membangunkan Akademi Al Quran Amalillah atau AKMAL sejak 2018.

Meskipun baru lima tahun beroperasi, AKMAL mencatat kejayaan yang membanggakan apabila melahirkan Hafiz 30 Juzuk Al-Quran dalam tempoh setahun.

Fakhrul yang juga Ketua Pegawai Operasi AKMAL berkata, sejak ditubuhkan Akademi Al Quran Amalillah berkembang sehingga memiliki enam buah cawangan termasuk ibu pejabat yang terletak di Marang, Terengganu.

“Cabaran ketika era pandemik memang sangat besar kerana kebiasaan dan tradisi pengajian al-Quran itu dilakukan secara berdepan. Tapi mahu atau tidak, kena biasakan cara belajar dalam talian.

“Bagai rahmat dalam ujian, membuka kejayaan besar kerana dengan cabaran tersebut kami berjaya mencipta pelbagai modul baharu untuk membantu anak muda mencapai misi menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh satu tahun atau kurang. Termasuklah memperkenalkan pengajian tahfiz secara dalam talian.

“Kita bersandarkan konsep ‘Fast Track Tahfiz Strategy’ menggabungkan sistem hafalan, motivasi harian, kajian pelajar secara bersasar dan kaedah pengurusan psikologi bagi mencapai sasaran dan misi yang diingini,” katanya.

KETIKA fasa pandemik, AKMAL berjaya melahirkan lebih 100 orang hafiz dan hafizah yang khatam 30 juzul al-Quran.

Tambah Fakhrul atau nama sebenarnya Mohd. Fakhrurrazi Hussin, pada 2019, akademi tersebut pernah tular apabila seorang daripada 20 pelajarnya berjaya hafiz dalam tempoh lima bulan hingga mendapat liputan meluas media.

“Kesannya, pihak kami memperoleh permintaan tinggi untuk kemasukan pelajar menyertai akademi ini. Cuma diakui pihak kami masih belum mampu menampung permintaan berkenaan kerana kekurangan kemudahan.

“Hingga kini usaha mengumpul dana untuk pembangunan kompleks tahfiz ini masih berjalan. Cawangan di KLIA juga hampir siap pembangunannya.

“Pada tahun 2020 ketika era pandemik pun, AKMAL berjaya melahirkan lebih 100 orang hafiz dan hafizah yang berjaya khatam 30 juzuk al-Quran. Pada Jun depan juga kita akan adakan majlis graduasi Haflah Takrimi di Terengganu meraikan lebih 200 pelajar,” ujarnya.

Selain itu kata Fakhrul, pada Mac lalu mereka juga berjaya menganjurkan Majlis Khatam Perdana Hafazan 30 Juzuk al-Quran membabitkan 75 orang pelajar yang majoritinya berjaya melengkapkan hafazan kurang setahun diadakan serentak di semua cawangan AKMAL.

“Tempoh khatam bermula dari tahun lalu hingga awal 2023. Apa yang menakjubkan kita juga berjaya mencatat rekod baharu kejayaan seorang pelajar bernama Iman Mardhiyyah Kamaruzzaman yang berusia 12 tahun. Dia berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk selama tiga bulan lebih sahaja.

“Malah pelajar terbabit juga berjaya melengkapkan syahadah tahfiz dalam tempoh lima bulan menjadikan tempoh lengkap hafiz dan syahadah hanya dalam tempoh 8 bulan lebih. Itu satu pencapaian yang amat luar biasa dan sangat membanggakan.

“Malah, kehebatan hafazan dan ingatan al-Qurannya diuji dan disemak terus selama dua hari tanpa melihat al-Quran. Proses tersebut dilaksanakan oleh wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dijemput dan pelajar terbabit berjaya memperolehi keputusan Mumtaz (sangat cemerlang) dari institusi berkenaan,” kata bekas peserta program Imam Muda Astro Oasis musim kedua itu.

Hal itu sekali gus jelas membuktikan AKMAL bukan hanya menekankan soal menghafal al-Quran dalam tempoh yang cepat, tetapi turut mementingkan penjagaan hafalan berkualiti mengikut sistem yang telah disusun.

Bagi yang mahu mendaftar pengajian atau ingin membuat sumbangan boleh layari laman web www.hafizsetahun.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN