SABAK BERNAM – Seorang pelajar lelaki menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki sekumpulan penuntut politeknik di Jalan Parit Baru, Sungai Tengar di sini, malam tadi.
Kejadian pukul 9.50 malam itu menimpa mangsa berusia 15 tahun yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah itu
menunggang motosikal Yamaha Y100 dari arah Bagan Nakhoda Omar menuju ke Sabak.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan. Pelajar itu kemudian melanggar bahagian kiri Perodua Alza dinaiki lima penuntut lelaki Politeknik Sungai Idris Shah (PSIS),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selain kemalangan itu turut menyebabkan pemandu dan penumpang berusia 21 serta 19 tahun cedera.
“Mereka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE