DUNGUN – Beberapa pelanggan yang sedang enak menjamu selera di sebuah kedai makan bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas premis itu tiba-tiba terbakar di Kampung Sura Jeti di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, kedai makan yang diusahakan Roshida Mohammad, 50, tersebut musnah sepenuhnya akibat kebakaran berkenaan.
Roshida berkata, sewaktu kejadian dia yang sibuk di dapur tiba-tiba terdengar bunyi letusan sebelum salur gas dapur memasaknya digunakan untuk menjerang air telah tercabut.
“Api terus menyambar bahagian dapur, saya cuba memadamkan kebakaran tetapi gagal malah makin marak.
“Saya yang panik menjerit kepada semua pekerja dan pelanggan segera lari meninggalkan kedai. Saya bimbang kemungkinan terjadi letupan kerana terdapat tiga tong gas di bahagian dapur,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Roshida berkata, keseluruhan kedai makannya yang diperbuat daripada kayu musnah terbakar dan melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Tambahnya, selain itu, dia juga tidak sempat mengambil beg tangannya yang mengandungi dokumen peribadi dan barangan berharga yang tertinggal di kedai makan tersebut. – K! ONLINE