WASHINGTON – Sekumpulan saintis menemui sebuah lubang yang membocorkan air di dasar lautan di luar pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat (AS) di kawasan dikenali sebagai Zon Subduksi Cascadia, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pakar-pakar dari Universiti Washington berkata, penemuan lubang dasar laut yang bocor mungkin bukan petanda baik di rantau berkenaan.
Lubang itu dinamakan ‘Pythias’ Oasis’ sempena nama seorang pendeta Greek yang membuat ramalan ketika duduk di atas mata air panas, lapor laman web Futurisme.
Ia menarik perhatian saintis sejak ditemui pada 2015, tetapi penyelidikan baharu mencadangkan bahawa air yang keluar dari lubang itu adalah sesuatu unsur lain.
Pakar-pakar percaya bahawa ia sebenarnya adalah sejenis pelincir tektonik yang diperlukan oleh plat untuk mengelakkan pergerakan dalam tanah.
Semasa menjalankan penyelidikan, saintis menemui ‘buih-buih pada kedudukan kira-kira 1.2 kilometer (km) di bawah permukaan air’.
Dengan menggunakan robot peneroka dasar laut, mereka mendapati buih-buih itu ‘hanya komponen kecil cecair panas berbeza secara kimia yang muncul dari sedimen dasar laut’.
Profesor oseanografi dan geologi dasar laut Universiti Washington, Evan Solomon berkata: “Mereka meneroka ke arah itu dan apa yang dilihat bukan hanya gelembung metana, tetapi air yang keluar dari dasar laut seperti paip.
“Itu sesuatu yang tidak pernah saya lihat dan dalam pengamatan saya tidak pernah dikaji sebelum ini,” katanya.
Kajian sebelum ini mendapati air yang keluar dari lubang itu lebih panas daripada suhu lautan. – Agensi