fbpx

Leaptec, Desan jalin kerjasama bangunkan perniagaan perkapalan bernilai RM2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Delegasi Leaptec diketuai Joey Lim melawat kawasan perkapalan milik Desan di Turki baru-baru ini.

PETALING JAYA- Leaptec Engineering Sdn. Bhd. (Leaptec) yang merupakan syarikat subsidiari LBS Bina Group Berhad hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama perniagaan perkapalan terkemuka di Istanbul, Turki iaitu Desan Deniz Ins. San. A.S. (Desan).

Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bekerjasama bagi meneroka potensi pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal serta pembinaan kapal dengan anggaran nilai projek melebihi RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.

Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San berkata, kerjasama itu merupakan kolaborasi sulung bersama syarikat Turki dalam bidang perkapalan.

“Kami turut mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan Melaka dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Desan.

“Desan amat sinonim dengan sektor pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan dan pembaikan kapal selain penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian semua jenis kapal komersial serta kapal tentera laut.

“Justeru, kami optimis bahawa perjanjian perniagaan ini akan menjadi perintis ke arah memakmurkan lagi pertumbuhan industri yang sesuai untuk projek kami di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian tersebut berkuatkuasa pada 13 April 2023 iaitu selama dua belas bulan, melainkan perjanjian tersebut diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani MOU itu telah diadakan di Ibu Pejabat Desan di Turki di mana Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Pengerusi Desan, Cenk İsmail Kaptanoğlu telah menyertainya.

Ia turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd. Anis Hisham Abd. Aziz.

Pada tahun 2021, Leaptec juga telah menandatangani perjanjian reklamasi dan pembangunan bersama kerajaan Melaka bagi membangunkan tanah seluas 1,200 ekar yang merupakan sebahagian koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi (M-WEZ) meliputi 25,000 ekar di sepanjang pantai negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN