PETALING JAYA – Tiga pembantu rumah yang berasal dari Indonesia tidak dapat menahan perasaan gembira apabila menerima duit raya berjumlah RM10,000 seorang daripada majikan mereka.
Menerusi perkongsian di media sosial Farahwen atau lebih dikenali sebagai Farah Syazwani, memaparkan pemberian istimewa itu yang diberikan olehnya sempena perayaan Aidilfitri.
Farah yang merupakan usahawan dan pempengaruh media sosial turut membawa ketiga-tiga pembantunya merasai percutian mewah dengan menaiki sebuah helikopter.
“Ini ‘bibik’ (pembantu) kami atau sebenarnya keluarga kami. Tahun ini, Alhamdulillah duit raya RM10,000 seorang.
“Kejutan seterusnya, kita bawa mereka pergi ‘healing’ (bercuti) selama tiga hari dua malam. MasyaAllah, mereka sangat gembira. Kita siap tempah bilik ‘suite’ asing untuk semua pembantu,” katanya menerusi video yang dimuat naik, semalam.
Dalam pada itu, rata-rata orang ramai tumpang gembira dengan rezeki yang dikongsi Farah bersama pembantu rumahnya itu.
“Alhamdulillah. Bukan setakat dapat rezeki RM10,000 sahaja. Dapat majikan yang baik pun salah satu rezeki. Semoga sentiasa dimurahkan rezeki lagi,” ucap Nana.
“Alhamdulilah, semoga dipermudah segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik. Semoga ada terselit rezeki untuk akak,” kata mama.
“Sukanya tengok kegembiraan wajah mereka. Semoga Farah diberi kesihatan yg baik dan dimurahkan rezeki,” ujar siti. – KOSMO! ONLINE