SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri, sudah menjadi satu kebiasaan buat kita semua untuk berbelanja lebih, tambah-tambah lagi perayaan itu hanya disambut setahun sekali.
Persiapan menyambut lebaran bukan sekadar membeli pakaian, kuih muih serta makanan semata-mata malah lebih daripada itu, apabila ada antaranya memilih untuk menukar langsir, perabot bagi menghiasi rumah mereka.
Semuanya dilakukan atas pelbagai tujuan, agar rumah nampak cantik, bersih, meraikan tetamu selain ada yang menganggap tidak salah berbelanja setahun sekali.
Namun apa yang menjadi permasalahan apabila membeli perabot baharu, bagaimana perabot lama. Mereka tidak tahu di mana mahu melupuskan perabot lama, apa yang terlintas difikiran hanya buang dan bakar adalah jalan mudah bagi mereka.
Berdasarkan pemerhatian penulis sejak kebelakangan ini, orang ramai membuang perabot di tong-tong sampah dan ada juga yang meletakkan di tepi jalan selain terdapat individu tidak bertanggungjawab membuat pembakaran terbuka.
Tindakan seperti membakar perabot itu adalah salah dan ia dilihat mampu mengundang kepada pencemaran udara sekali gus memberi kesan terhadap gangguan kesihatan orang ramai.
Namun, ramai antara mereka juga tidak mengetahui bahawa perabot ‘usang’ boleh dikitar semula dan boleh diguna pakai sebagai produk perabot baharu.
Tidak dinafikan, terdapat pemain industri kayu di negara ini turut menawarkan perkhidmatan guna semula sumber kayu, namun orang ramai masih tidak sedar mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak tertentu itu wujud.
Pakar Alam Sekitar, Prof. Dr Ahmad Ismail berkata, negara perlu mempunyai suatu kajian dan teknologi untuk mengelakkan perabot lama ini dibiar reput atau dibakar.
Katanya, dengan pertambahan perumahan baru yang kian rancak ketika ini pasti memerlukan banyak perabot diproses dan ia dilihat sangat membimbangkan dengan aktiviti pembalakan akan terus berlaku.
“Kayu lama boleh digunakan semula sebagai mengurangkan kebergantungan hutan bagi menghasilkan perabot yang lebih banyak.
“Selalunya perabot kayu dan bekas bahan binaan kayu dibakar atau direputkan. Sedangkan kayu terbuang itu boleh diproses semula dengan teknologi terkini menjadi perabot baharu dengan reka bentuk lebih menarik.
“Ini juga sekali gus, kita juga boleh menjimatkan pelepasan karbon ke udara,” ujarnya.
Sehubungan itu, penulis berharap pemain industri dapat memperhebatkan hebahan bagi memberi kesedaran guna semula sumber kayu kepada orang ramai.
Jika ini dapat dimainkan oleh pihak industri ia sekali gus dapat memperhebatkan lagi kempen kesedaran menyayangi alam sekitar dan pencemaran udara dapat dielakkan.