PUTRAJAYA- Hartanah kediaman siap yang tidak terjual menurun sebanyak 27,746 unit dengan nilai RM18.41 bilion setakat akhir Disember 2022 berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Johor mengekalkan jumlah dan nilai tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion.
Menurutnya, ia diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion, Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion) dan Kuala Lumpur (3,429 unit bernilai RM3.15 bilion).
“Status hartanah kediaman siap tidak terjual yang berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus.
“Ia diikuti kediaman yang berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 membabitkan 8,128 unit bernilai RM3.29 bilion (29.3 peratus).
“Manakala, bagi hartanah kediaman dibawah RM300,000 tidak terjual adalah sebanyak 6,509 unit bernilai RM1.34 bilion dan kediaman bernilai RM1 juta dan ke atas adalah sebanyak 3,785 unit bernilai RM7.50 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya antara faktor menyebabkan banyak hartanah kediaman tidak terjual, Ahmad berkata, ia membabitkan keupayaan rakyat untuk memiliki sesuatu hartanah selain lokasi tidak menepati permintaan atau kesesuaian.
Jelas beliau, hanya Melaka menjadi satu-satunya negeri nisbah harga rumah mampu miliknya menepati keupayaan pembeli.- KOSMO! ONLINE