PUTRAJAYA- Projek rintis bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan dengan memindahkan operasi zon hijau kepada klinik kesihatan di luar waktu operasi dilihat berjaya menurunkan purata pesakit ke jabatan kecemasan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek rintis dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di Klang itu bermula 25 Mac lalu berjaya menunjukkan trend penurunan.
“Sehingga 9 April 2023, purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR mencatatkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 54 peratus.
“Trend penurunan itu berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Susulan itu, katanya, KKM memutuskan untuk memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi itu ke klinik kesihatan yang lain.
“Lima klinik kesihatan telah dipilih untuk tujuan itu melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.
“Di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.
“Antaranya adalah pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual dan strategi komunikasi melalui ‘behavioral insight’,” jelasnya.
Katanya, KKM juga menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan.
“Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE