KLUANG – Gara-gara mengelak daripada melanggar sebiji tayar yang tercicir, seorang lelaki maut selepas lori dipandunya hilang kawalan dan terbabas dalam kejadian di Kilometer 68.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada pukul 2.30 pagi itu melibatkan lori jenis Isuzu, treler jenis Volvo dan kereta Honda Civic semasa ketiga-tiga kenderaan itu datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori yang membawa muatan buah-buahan itu dipercayai cuba mengelak sebiji tayar tercicir diatas jalan sehingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik seterusnya melanggar besi pembahagi jalan.
“Pada masa sama sebuah treler yang membawa muatan simen dan kereta berkenaan yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar lori berkenaan.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori telah jatuh ke dalam longkang pembahagi jalan serta mengalami kecederaan parah,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, pemandu lori tersebut, Muhammad Saifuddin Md. Lazan, 35, yang berasal di Muar cedera parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu treler, K Mani, 68, yang beralamat di Karak, Pahang dan pemandu kereta, Wong Zi Sheng, 26, beralamat di Batu Pahat tidak mengalami kecederaan.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, seramai sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
Tambahnya, mangsa dipercayai telah meninggal dunia sebelum pihak bomba tiba di lokasi, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai pukul 3.28 pagi.-KOSMO! ONLINE