PETALING JAYA – Penyanyi Naufal Azrin mengakui kini hatinya sudah dimiliki seorang wanita yang enggan didedahkan identiti.
Meskipun begitu, pelantun lagu Casablanca itu enggan mendedahkan secara terperinci mengenai hubungan cintanya.
“Saya enggan dedahkan sebab saya tidak suka orang tahu mengenai diri dan orang sekeliling saya. Saya lebih suka privasi,” jawabnya ringkas.
Penyanyi berusia 24 tahun itu bahkan merahsiakannya dengan tidak berkongsi sebarang kisah cinta dalam media sosial kerana ingin menjaga privasi kekasih.
“Saya sorok (kekasih) dalam media sosial kerana tidak mahu orang mengganggu dia.
“Dia juga tahu saya artis, jadi secara tidak langsung dia akan terkenal dan diganggu.
“Namun, kalau terjumpa saya bersama dia di mana-mana, saya tetap akan mengaku sahaja,” ujar Naufal.
Sebelum ini, timbul desas-desas tentang hubungan istimewa Naufal dan pasangan duetnya dalam lagu Casablanca, Nuha Bahrin apabila dilihat akrab sejak karya tersebut mencipta populariti.
Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan berita tersebut dan menganggap hubungan akrab antara mereka tidak lebih seperti adik-beradik sahaja.
Naufal berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Big Stage musim kelima (BS5) yang menyaksikan dia menjadi peserta dalam program Astro tersebut secara solo.
Selain Naufal, beberapa penyanyi muda lain seperti Isaac Voo, Puteri Khazeera, Dem Lepak Boys, Aufaheni, kumpulan wanita Coex, Putera Muhammad, Nadeera, Meer Nash dan Firdaus Rahmat turut menyertai BS5. – KOSMO! ONLINE