PUTRAJAYA – Trend ‘sulam nama’ pada kulit kini menjadi ikutan dalam kalangan remaja kerana dianggap mirip kepada tatu selain bersifat tidak kekal.
Bagaimanapun, prosedur itu adalah haram dan dilarang dalam syarak sebagaimana mencacah tatu dan pelakunya pula hendaklah segera bertaubat dan menyesali perbuatannya.
Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, prosedur ‘sulam nama’ pada kulit sebenarnya mirip atau sama dengan prosedur membuat tatu.
“Kami melihat prosedur pada kulit itu bukan bertujuan untuk rawatan tetapi sebaliknya untuk kecantikan semata-mata yang mana pada hakikatnya ia adalah mencacatkan kulit dan kawasan yang dicacah.
“Kami menasihatkan supaya sulaman nama yang dilakukan pada kulit itu hendaklah segera dihilangkan, jika ia tidak mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawanya.
“Sekiranya proses menghilangkannya itu mendatangkan kemudaratan, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri.
Katanya, sebahagian ulama berpendapat bahawa tempat atau kawasan yang dicacah (untuk dibuat tatu atau disulam nama) sebagai najis.
“Perbuatan mencacah nama atau membuat tatu ini juga menyerupai perbuatan orang kafir, sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka.
“Saya ingin menasihatkan kepada remaja dan anak muda Islam agar bijak dalam mengikuti trend yang ingin diikuti dan jauhilah trend yang jelas-jelas bercanggah dengan cara dan gaya hidup seorang Muslim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE