PUTRAJAYA- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mempergiatkan Program Pembangunan Pemasaran dengan menyasarkan lebih 2,000 lokasi pelaksanaan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program itu merupakan antara perkara dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 1 tahun 2023 dalam usaha membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
“Jualan JTDL itu dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk peniaga kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah kerana dibawa terus dari sumber bekalan.
“Fama turut mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 lokasi seluruh negara termasuk pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok.
“Bermula 15 April 2023, Fama juga akan mengadakan Jualan Khas Syawal Madani bagi memberi peluang rakyat mendapatkan bahan persiapan Hari Raya di 113 outlet pemasarannya ,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga akan bersama Proton dan Perodua bagi melancarkan Pakej Rahmah Servis Kenderaan Bermotor dengan harga murah.
“Mesyuarat NACCOL juga mengambil maklum pembentangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia bagi melaksanakan satu lagi inisiatif Rahmah.
“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membentangkan hasil awal Program Ekonomi Sempadan di mana pelbagai kesan dan impak positif diperolehi daripada projek rintis di Perlis,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sebanyak empat kertas turut dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, KPKT dan dua di KPDN. – KOSMO! ONLINE