fbpx

Alvin Goh ditahan semula bantu siasatan kes judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras inilah Alvin ditempatkan bagi membantu siasatan kes judi online.

PETALING JAYA – Seorang lelaki dikenali sebagai Alvin Goh yang diberkas polis pada Selasa lalu akan ditahan semula bagi membantu siasatan membabitkan kes judi online.

Lelaki berusia 32 tahun yang ditangkap di Genting Highlands, Pahang sebelum ini direman selama tiga hari berakhir semalam.

Difahamkan, terdapat tiga kes judi online yang mengaitkan lelaki itu di kawasan Cheras.

Satu sumber berkata, lelaki itu yang dikehendaki polis sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Perintah reman terhadap suspek selama tiga hari tamat hari ini (semalam), jadi kita membuat tangkapan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kes judi di Cheras.

“Selain itu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada sindiket judi online yang beroperasi di sekitar ibu negara mempunyai kaitan dengan suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, siasatan sebelum ini mendapati lelaki tersebut berperanan sebagai koordinator kepada sindiket judi online yang didalangi warga China.

“Pada ketika ini, siasatan sedang menjurus kepada bagai­mana suspek boleh berhubung de­ngan sindiket dan habuan yang diterimanya sebagai orang te­ngah,” katanya.

Siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dengan beberapa sindiket judi online yang berbeza dan polis masih mengesan saki-baki mereka yang masih bebas.

Kosmo! pada Rabu lalu me­laporkan, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh yang hidup sebagai pelarian selama lebih dua minggu­ berhubung siasatan kes Macau Scam dan judi online akhir­nya diberkas polis.

Lelaki itu sebelum ini dipercayai meloloskan diri de­ngan memanjat pagar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 Oktober lalu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI