GOMBAK – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan ditemui tidak sedarkan diri ketika dijaga oleh pengasuhnya di Taman Selayang Jaya, Batu Cave, disini, tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Haji Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.13 tengah hari daripada pengadu wanita berusia 27 tahun.
Katanya, wanita itu memaklumkan bayi tersebut tidak sedarkan diri dirumah yang pengasuhnya yang merupakan seorang wanita berusia 47 tahun.
‘Hasil siasatan yang dijalankan mendapati bayi tersebut telah dijaga oleh pengasuhnya. Sekitar pukul 11 pagi, bayi tersebut tidak sedarkan diri semasa dikejutkan dari tidur seterusnya pengasuh tersebut telah menghubungi ibu bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zainal, bayi tersebut dibawa ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.53 pagi.
“Bedah siasat dilakukan pada pukul 9 pagi dan punca kematian adalah masalah jantung sejak lahir iaitu ”Congenital Heart Disease”. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor J.Winson A/L Joseph di talian 016-2335454 atau Ibu Pejabat Daerah Gombak di talian 03-61262222. -KOSMO! ONLINE