MOSCOW – Seorang lelaki di Russia bukan sahaja terselamat daripada maut tetapi hanya mengalami kesan calar selepas terjatuh dari tingkat 19 sebuah bangunan akibat mabuk, lapor laman berita India Times semalam.
Berdasarkan klip video tular di media sosial, lelaki yang hanya dikenali sebagai Arthur itu pada awalnya, dilihat berdiri di tebing tingkat 19 sebuah blok pangsapuri.
Orang ramai yang bimbang melihat aksi berbahaya itu berkumpul di kawasan tepi bangunan sambil menanti pihak berkuasa tiba.
Namun, belum pun sempat anggota bomba tiba untuk menghulurkan bantuan, Arthur hilang kawalan lalu terjatuh dari tingkat 19 dan terhempas ke atas bumbung sebuah kereta Nissan X-Trail.
Kenderaan itu dilaporkan kemik teruk akibat dihempap oleh Arthur. Namun, lelaki itu hanya mengalami sedikit calar pada kepala sebelum bangun dan berjalan semula.
Menurut kakitangan perubatan yang tiba untuk memberi bantuan, Arthur memberitahu bahawa dia bertindak demikian kerana ingin menghilangkan rasa sedih ditinggalkan kekasihnya.
Ketika dalam perjalanan ke hospital, Arthur dikatakan menyanyi dan bersikap seolah-olah dirinya tidak mengalami apa-apa kesakitan. – Agensi