Berbaloi sertai saingan Liga Fantasi Kosmo! musim ini
PASUKAN LASI FC seolah-olah tidak percaya apabila berada dalam kelompok lima kelab terbaik pada saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-30 (GW30).
Pengurus pasukan, Jelian Joseph mengakui perancangan taktikal yang dilakukan agak menjadi, sekali gus dapat muncul juara mingguan buat kali pertama musim ini.
Kata Jelian, keputusan meletakkan penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland membuahkan hasil apabila berjaya meledak dua gol ketika menentang Southampton minggu lalu.
“Secara jujur, tiada banyak rahsia dalam pasukan saya untuk meraih mata tertinggi. Antara kekuatan pasukan saya juga adalah penjaga gol Newcastle United, Nick Pope selain Harry Kane yang menyumbangkan mata agak tinggi.
“Apa yang pasti, sangat berbaloi menyertai saingan Liga Fantasi Kosmo! yang menawarkan hadiah menarik dan sudah tentu saya harap dapat terus mencatat kemenangan pada masa akan datang,” kata Jelian yang berpengalaman lebih enam tahun dalam arena Fantasy Premier League.
Tuah pembaca setia Sukan Kosmo!
PENANTIAN lama pengendali City FC, Mohd. Firdaus Ahmad untuk menjadi antara lima pemenang mingguan terbaik Liga Fantasi (FPL Kosmo!) sejak musim lalu akhirnya terlerai.
Pengendali yang menggunakan nama pengurus Helicobacter itu langsung tidak menjangka mampu menjadi pemenang bagi saingan minggu ke-30 kerana merasakan pungutan matanya tidak begitu tinggi berbanding minggu ke-29.
Peminat Arsenal itu menganggap pembelian Erling Haaland sebagai kapten pasukan dan Tyrone Mings membuahkan hasil tidak diduga memandangkan telah mengaktifkan cip ‘bench boost’ pada minggu lalu.
“Banyak pemain saya dapat jaringkan gol termasuk Haaland, Harry Kane, Gabriel Martinelli dan Lewis Dunk. Mungkin itulah faktor saya dapat banyak mata, tapi tak sangka pula sampai jadi pemenang.
“Secara peribadi, kejayaan ini mengubati kekecewaan saya selepas Kedah tewas 0-6 kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) pada Liga Super dan Arsenal bolos saat akhir sekadar seri 2-2 dengan Liverpool,” kata pembaca setia ruangan sukan Kosmo! itu.
Pengurus yang berasal dari Kulim, Kedah itu turut menganggap kejayaan ini merupakan rezeki Hari Raya Aidilfitri buat dirinya dan berterima kasih kepada Kosmo! kerana mewujudkan peraduan seperti FPL Kosmo!
Detik 30 minit pertukaran kapten jadi penentu
“BIARLAH sama dengan orang lain pun, janji saya tahu Erling Haaland mampu jaringkan gol dan sumbangkan mata!” Demikian pendirian Fazlierizal Anuar apabila pasukannya, Supermen F.C muncul pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!).
Memandangkan dia tidak meletakkan harapan untuk menang, Fazlierizal jelas terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang minggu ini.
“Kalau ikutkan, saya sertai FPL Kosmo! pun suka-suka saja dan sebab itu agak terkejut bila dapat tahu menang. Tidak sangka pula kali ini ‘sangkut’ hadiah mingguan.
“Biarlah keputusan saya pilih Haaland kapten sama dengan orang lain kerana saya tahu kualitinya. Selain Haaland, Kevin De Bruyne dan penjaga gol Newcastle United, Nick Pope juga beri mata yang banyak,” katanya.
Duit raya buat cahaya mata ketiga
PASUKAN Sendawa FC menganggap kejayaan muncul pemenang lima terbaik Liga Fantasi Kosmo! pada minggu ke-30 (GW30) sebagai hadiah buat cahaya mata ketiga yang baru dilahirkan pada Mac lepas.
Pengurus pasukan, Azfar Ahmad percaya kejayaan meraih kedudukan Top 5 pada minggu lalu memberikan dirinya suntikan semangat dalam memastikan cabaran terbaik dapat diberikan setiap minggu.
“Saya sangat gembira apabila berjaya mengutip mata tinggi dan ini adalah kali kedua saya menang hadiah mingguan musim ini. Boleh dikatakan mungkin ini hadiah atau duit raya untuk anak saya yang baru lahir pada bulan lepas.
“Mengenai taktikal pasukan, saya akui banyak menumpukan aspek serangan kali ini dengan beberapa pemain agak menjadi seperti Alexander Isak, Gabriel Martinelli dan Kevin de Bruyne sebagai kapten.
“Kalau boleh, kini saya mahu terus mendaki carta liga utama dengan meletakkan sasaran Top 20 pengurus terbaik dalam kempen Liga Fantasi musim ini,” katanya.
Supermen FC nikmati rasa sebagai pemenang
KEPUTUSAN menukar kapten Marcus Rashford kepada Erling Haaland setengah jam sebelum perpindahan ditutup jadi percaturan berbaloi buat Mohd. Fauzee Mohammad Fadeli apabila pasukannya, Fuhh sakit kepala muncul satu daripada lima pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!).
Malah, Mohd. Fauzee turut memilih Kevin De Bruyne dan Jack Grealish kerana merasakan Manchester City tidak lagi akan simpan pemain terbaik untuk pastikan kemenangan besar, sekali gus beri tekanan kepada Arsenal.
“Saya selalu lihat perlawanan lepas dan saya tengok City sentiasa ‘makan besar’. Jadi, sebab itu juga yang buatkan saya pilih tiga pemain City, kalau jadi, jadilah dan kalau tidak jadi pun saya reda.
“Saya rasa City tidak akan simpan lagi pemain mereka untuk beri tekanan psikologi kepada Arsenal. Pada awalnya, saya pilih Rashford sebagai kapten, namun setengah jam sebelum tutup, saya tukar kepada Haaland.
“Alhamdulillah, rezeki ketika kita bakal sambut Aidilfitri. Ini kali kedua saya menang musim ini dan saya harap giliran pasukan satu lagi, Kucing mentel fc pula menang.