KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook ‘Raja Hairun’ direman selama dua hari bermula hari ini setelah bertindak menghina institusi diraja Malaysia di laman sosialnya.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 42 berkenaan direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, “katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, polis menahan lelaki terbabit di Temerloh, Pahang selepas disyaki memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja Malaysia.
Tangkapan terhadap lelaki terbabit dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Menurut Noorsiah, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE.