LONDON – United Kingdom dan Ireland telah membuat tawaran rasmi untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Euro 2028 dengan stadium Everton, Tottenham Hotspur dan Newcastle United antara cadangan dikemukakan.
Bagaimanapun, stadium kedua terbesar di England iaitu ‘rumah’ Manchester United, Old Trafford digugurkan daripada 10 cadangan stadium untuk digunakan pada kejohanan berprestij Eropah itu.
10 stadium yang disenaraikan ialah Wembley, Tottenham Hotspur, Etihad, St. James Park, Villa Park, Hampden Park, Principality, Aviva dan dua stadium baharu yang bakal dibina selepas ini.
Dua stadium baharu itu ialah Bramley Moore Dock di Everton dan Casement Park di Belfast, Ireland bagi menggantikan laman rasmi Ireland Utara, Windsor Park kerana tidak memenuhi kriteria Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
“Ini menunjukkan komitmen untuk menganjurkan kejohanan yang bakal memecahkan rekod dengan lebih banyak tiket disediakan berbanding edisi-edisi sebelum ini,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak (FA) England.
Sebagai rekod, England baru dua kali menjadi tuan rumah kejohanan berprestij antarabangsa iaitu Piala Dunia 1966 yang menyaksikan mereka muncul juara dan Euro 1996 yang berakhir di peringkat separuh akhir.
UK dan Ireland berdepan saingan daripada Turkiye yang turut mengemukakan tawaran rasmi menjadi hos Euro 2028, manakala Itali memilih untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2032. – AGENSI