LONDON – Selepas mempamerkan aksi dominan musim ini, pemandu Red Bull, Max Verstappen mendapat sokongan untuk memecahkan rekod tujuh gelaran dunia Formula Satu (F1) milik Lewis Hamilton dan juga Michael Schumacher.
Bekas juara dunia 1996, Damon Hill dan bekas pemilik pasukan, Eddie Jordan percaya pemandu berusia 25 tahun itu mempunyai apa yang diperlukan untuk memenangi lebih banyak gelaran dunia berbanding pemandu lain dalam sejarah F1.
Ketika ini, Verstappen sedang mengejar gelaran dunia F1 ketiga berturut-turut sejurus memenangi dua daripada tiga perlumbaan setakat ini sekali gus mendahului 15 mata di hadapan rakan sepasukannya dari Red Bull, Sergio Perez.
“Saya pasti dia (Verstappen) akan menjadi lebih baik. Verstappen telah menunjukkan bahawa dia lebih matang dan mengaplikasikan bakatnya dalam perlumbaan.
“Dia tahu apa yang perlu dilakukannya sewaktu berada dalam perlumbaan. Verstappen juga tidak lagi terburu-buru, malah dia kini mempunyai perancangan yang lebih baik setiap kali turun ke litar perlumbaan.
“Kemungkinan Verstapen mampu merangkul lapan gelaran dunia. Verstappen ada ciri-ciri seorang pemandu yang terbaik terutama objektif untuk merangkul kemenangan pada setiap musim,” kata Hill.
Sementara itu, Jordan percaya Verstappen akan menjadi pemandu pertama memenangi sepuluh gelaran dunia sekiranya memperoleh jentera terbaik pada setiap musim.
“Jika semuanya beroperasi dengan baik terutama secara mental dan fizikal, saya yakin Verstappen mampu menjulang 10 gelaran dunia,” ujar Jordan.
– AGENSI